Wednesday, 30 March 2011

TOM PLATE; BY TUN DR.MATHIR

Tuduhan beliau anti-Yahudi terjawab dalam buku Tom Plate

KALAU bukan subjeknya mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mungkin konsep perbualan yang bercampur baur dengan pandangan penulis, Tom Plate, Coversation With Mahathir Mohamad: Dr M Operation Malaysia yang ada kalanya bersifat membela diri, pasti buku terbabit’ tidak begitu menarik.

Namun kerana subjeknya Tun Dr Mahathir, maka membaca buku begini adalah pengalaman yang unik, apatah lagi merasai sendiri lucu, bijak dan sinikalnya Dr Mahathir, pemimpin yang tetap menjadi kayu ukur perbandingan dalam sejarah politik tanah air.
Sebelum ini, buku mengenai Dr Mahathir yang ditulis penulis barat, sangat formal dan berat, namun di tangan Tom Plate, buku mengenai mantan Perdana Menteri itu, walaupun berkisar pada persoalan serius, ia tampak santai kerana pendekatan yang digunakan.
Agak aneh, walaupun di Barat Dr Mahathir lebih dikenal sebagai anti-Yahudi, namun selepas beliau bersara ramai pula penulis rantau terbabit yang berminat menulis mengenai beliau dan unsur lawak jenaka sinis yang dimasukkan adalah ‘cubaan’ memberi warna-warni kepada personaliti Dr Mahathir.

Pendekatan terbabit diambil bagi mengubah tanggapan masyarakat Barat mengenai Dr Mahathir sebagai tokoh ‘anti Yahudi’ dan bersikap sinikal terhadap wartawan Barat, selain jelas sekali ia sebagai strategi membolehkan buku terbabit memasuki pasaran Amerika.

Bab mengenai anti-Yahudi menjadi persoalan paling panjang dalam buku ini iaitu 22 halaman dan walaupun penulis secara peribadi ‘percaya’ Dr Mahathir bukan anti-Yahudi, namun pembukaan bab itu sangat kontradik sehingga menimbulkan rasa curiga.

“Author note: Dr Mahathir never asked to review his direct qoutes, much less review the actual manuscript. But his controversial views on Israel, Israelis and the Jews are sometimes all that Westerners know about him. Thus, to avoid misunderstanding, I sent this chapter to Malaysia for him to offer his comments and corrections. He had none”.
Persoalan itu kemudiannya diajukan kepada Tom Plate ketika penulis berjumpa dengannya di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, sebelum perasmian buku ini di Putrajaya pada 22 Februari lalu dan jawapannya, “Bukan mahu memperbetulkan, tetapi mungkin Dr Mahathir berminat untuk mengemaskini pendapatnya mengenai Yahudi.”

“Jadi adakah salah kalau anti-Yahudi?,” soalan itu kemudiannya menyebabkan Tom Plate merenung lama sebelum menjawab, “bukan salah, tetapi sedikit aneh apabila memberi pandangan anti-Yahudi, tetapi dalam masa yang sama datang ke Amerika untuk mencari pelabur,”

“Namun bukan semua warga Amerika Yahudi? Atau semuakah?,” Tom Plate tersenyum lewat soalan itu.

Mengimbau kembali pertemuan pertamanya dengan Dr Mahathir, ia berlaku pada 1998 ketika Dr Mahathir datang ke Amerika bagi mendapatkan pelaburan menjayakan Koridor Raya Multimedia (MSC), tetapi untuk menyudahkan buku ini, empat pertemuan khusus dibuat di Putrajaya.

Sebelum menulis mengenai Dr Mahathir, Tom Plate terlebih dulu menulis mengenai Lee Kuan Yew dan bekas pemimpin Singapura itu melakukan empat kali suntingan sebelum Conversation With Lee Kuan Yew : Citizen of Singapore: How to Build a Nation diterbitkan.

Tom Plate memberitahu Dunia Buku, di Amerika tidak banyak kolum akhbar yang serius menulis mengenai Asia dan jika ada pun isunya sudah lama basi seperti menulis mengenai China mestilah mengenai kekejaman kerajaannya di Medan Tiannamen. Kalau mengenai Singapura pula, ia mestilah tentang ‘gula-gula’, sementara jika isu Malaysia ia mesti mengenai Dr Mahathir serta sentimen anti-Yahudinya.

Apatah lagi dengan sikap wartawan Barat yang tidak banyak membaca dan mengetahui mengenai Asia, kerap kali apabila menemubual tokoh pemimpin Asia, mereka cenderung untuk bersikap mengajar sehingga tidak berminat mengetahui mengenai China yang bakal muncul sebagai gergasi ekonomi atau Malaysia negara Islam moden yang maju.

“Barat banyak terlepas apabila mereka tidak membaca mengenai pemimpin hebat Asia seperti Dr Mahathir. Malah, Dr Mahathir adalah pemimpin yang lebih baik daripada beberapa bekas pemimpin Amerika,” katanya yang mengakui bahawa buku terbabit akan cuba dipasarkan ke Amerika dan Eropah.

Coversation With Mahathir Mohamad: Dr M Operation Malaysia setebal 243 halaman yang pernah menduduki carta jualan buku paling laris di pasaran, juga punya kejutan sama seperti Barry Wain yang menulis Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times tahun lalu.

Mereka yang menuduh Dr Mahathir sebagai ditaktor dapat mencari jawapan terbaik melalui pengakuan tokoh itu untuk tidak mencampuri urusan polis dalam Operasi Lalang dalam halaman 120 dan secara peribadi beliau tidak bersetuju dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Bagaimanapun, baginya ISA perlu ada untuk situasi tertentu dan ia jauh lebih baik berbanding Directorate of Inter-Services Intelligence (ISI) di Pakistan atau tindakan mendera tahanan perang di Quantanamo atau di Iraq yang dilakukan Amerika tanpa sebarang peruntukan undang-undang!

No comments:

Post a Comment